Monday, February 15, 2010

Contoh Kertas Penyelidikan

KEKONGRUENAN PERSONALITI-PERSEKITARAN KURSUS DAN
HUBUNGANNYA DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK
DI KALANGAN PELAJAR UTM

Mastura binti Mahfar, Ishak bin Mad Shah, Hamdan bin Abdul Kadir
Jabatan Pembangunan Sumber Manusia,
Fakulti Pengurusan & Pembangunan Sumber Manusia
Universiti Teknologi Malaysia
81300 Skudai, Johor, Malaysia.


ABSTRAK

Kajian ini telah dilaksanakan ke atas pelajar tahun satu kursus SHR atau Sarjana Muda Sains
(Pembangunan Sumber Manusia), Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia,
semester dua, sesi 2006/2007, UTM Skudai. Seramai 90 orang pelajar telah dipilih secara
rawak sebagai sampel kajian. Antara objektif kajian ini adalah 1) mengenalpasti pola
personaliti-persekitaran kursus dan tahap darjah kongruen di kalangan pelajar 2)
mengenalpasti sama ada terdapat hubungan antara pencapaian akademik dengan darjah
kongruen personaliti-persekitaran kursus di kalangan pelajar. Alat kajian Self-Directed Search
(SDS)-Form Easy (Versi terjemahan Amla, 1984) telah digunakan bagi mengenalpasti pola
personaliti-persekitaran pelajar. Manakala, tahap darjah kongruen personaliti-persekitaran
kursus telah ditentukan dengan menggunakan Indeks Kongruen Iachan. Kaedah analisis
deskriptif yang telah digunakan ialah kekerapan, peratusan dan min skor. Kolerasi Pearson ‘r’
digunakan dalam analisis inferensi bagi menjawab hipotesis kajian. Dapatan kajian
menunjukkan bahawa 1) kod tiga huruf pelajar bagi kursus SHR ialah SEA dan mempunyai
tahap darjah kongruen iaitu padanan yang baik dengan kod tiga huruf Holland 2) Tidak
terdapat perhubungan signifikan antara pencapaian akademik dengan darjah kongruen
personaliti-persekitaran kursus di kalangan pelajar SHR. Secara keseluruhannya, walaupun
tidak terdapat perhubungan antara pencapaian akademik dengan darjah kongruen
personaliti-persekitaran kursus pelajar, namun dapatan kajian ini boleh membantu dalam
mengenalpasti kekongruenan personaliti-persekitaran kursus di kalangan pelajar.

PENGENALAN

Proses melahirkan warga pelajar yang bersedia menjadi tenaga kerja berkualiti dan
memenuhi keperluan semasa adalah merupakan agenda penting negara. Sehubungan itu,
kerajaan Malaysia melalui Dasar Pendidikan Negara telah menekankan matlamat bahawa
menjelang tahun 2020, sejumlah 60% kursus adalah dalam bidang sains dan teknologi dan
40% dalam bidang sastera dan kemanusiaan. Dasar ini selaras dengan wawasan negara
menuju ke arah negara industri penuh menjelang 2020. Justeru, kebanyakan pelajar yang
mengikuti kursus pengajian di universiti adalah terpilih berdasarkan kelayakan akademik
serta keperluan dasar negara setelah melalui beberapa proses pemilihan. Permasalahan
timbul apabila terdapat sesetengah pelajar yang mengikuti kursus pengajian di universiti yang
bukan merupakan pilihan dan minat utama mereka. Ada juga pelajar yang berjaya dalam
permohonan tetapi setelah melalui beberapa tempoh pengajian, didapati kursus pengajian
tersebut tidak selaras (kongruen) dengan minat dan personaliti mereka. Ketidakselarasan
yang wujud antara pola personaliti dengan kursus pengajian yang dipilih ini menyebabkan
sesetengah pelajar memohon pertukaran kursus semasa tempoh pengajian di universiti.
Sekiranya pelajar tidak mempunyai peluang untuk bertukar kursus, maka mereka terpaksa
meneruskan pengajian dalam kursus yang sama. Implikasinya, pelajar ini akan belajar dalam
keadaan tertekan dan kecewa. Walaupun mereka berjaya menamatkan pengajian, tetapi
kemungkinan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) mereka adalah tidak berapa
memuaskan.
Justeru, ketidakselarasan pemilihan kursus boleh menyebabkan seseorang pelajar tidak
mencapai kepuasan belajar secara menyeluruh, bermotivasi rendah, tidak dapat
menyesuaikan diri dengan persekitaran kursus yang dipilih serta berkemungkinan
memberikan impak negatif terhadap pencapaian akademik mereka. Selain itu, kekongruenan
Simposium Pengajaran dan Pembelajaran UTM 2007 (SPPUTM 07) | 2
Kecemerlangan Pendidikan Menerusi Pengajaran dan Pembelajaran Berkualiti
personaliti-persekitaran juga akan mempengaruhi kejayaan sesuatu kerjaya (Bretz & Judge,
1994). Oleh itu, sekiranya pelajar menamatkan pengajian dengan kursus yang tidak diminati,
kemungkinan mereka terpaksa menceburi bidang pekerjaan yang tidak disukai kelak. Senario
ini bukan sahaja boleh menjejaskan perkembangan kerjaya seseorang pelajar serta bilangan
tenaga sumber manusia dalam sesuatu pekerjaan, bahkan akan membazirkan kos dan
tenaga produktiviti bagi pembangunan negara.
Berasaskan Teori Tipologi Kerjaya Holland (1973,1985) menegaskan bahawa kekongruenan
personaliti dan persekitaran bukan sahaja akan membantu kepuasan bekerja, bahkan
membantu dalam peningkatan pencapaian akademik seseorang pelajar. Ini disokong dengan
kajian Bruch dan Krieshok (1981), Sabariah (1985) dan Allen (1996) yang menunjukkan
terdapatnya hubungan antara pencapaian akademik dengan darjah kongruen personalitipersekitaran
kursus di kalangan pelajar universiti. Oleh itu, pemilihan kursus yang
berdasarkan kekongruenan minat dan personaliti merupakan antara salah satu faktor utama
yang akan membantu meningkatkan pencapaian akademik dan kepuasan mereka dalam
sesuatu pemilihan kerjaya.
Gattiker & Larwood (1990) juga menyatakan bahawa personaliti dan persekitaran yang
kongruen akan mendorong seseorang pelajar belajar secara bersungguh-sungguh dan lebih
berkesan. Sekiranya keadaan seumpama ini wujud di kalangan pelajar, maka prestasi pelajar
akan semakin meningkat dan seterusnya membantu mereka dalam merancang pemilihan
kerjaya yang bersesuaian apabila menamatkan pengajian kelak (Sidek, 1996). Justeru, kajian
ini dilaksanakan bertujuan mengenalpasti sama ada wujudnya atau tidak perhubungan antara
pencapaian akademik dengan darjah kongruen personaliti-persekitaran kursus di kalangan
pelajar SHR di samping mengenalpasti pola personaliti-persekitaran kursus dan tahap darjah
kongruen personaliti-persekitaran kursus pelajar berasaskan kod tiga huruf Holland.

OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini bertujuan untuk mencapai objektif seperti berikut iaitu:
i. Mengenalpasti pola personaliti-persekitaran kursus di kalangan pelajar tahun satu
SHR.
ii. Mengenalpasti tahap darjah kongruen personaliti-persekitaran kursus di kalangan
pelajar tahun satu SHR.
iii. Mengenalpasti sama ada terdapat hubungan antara pencapaian akademik dengan
darjah kongruen personaliti-persekitaran kursus di kalangan pelajar tahun satu SHR.

DEFINISI KONSEP DAN OPERASIONAL
Pola Personaliti – persekitaran

Pola personaliti-persekitaran bermaksud keterangan tentang profil keserupaan terhadap jenis
personaliti-persekitaran (Holland, 1985). Dalam kajian ini, pola personaliti-persekitaran
merujuk kepada kod tiga huruf Holland yang mewakili tiga jenis personaliti utama. Huruf
pertama mewakili jenis personaliti yang paling dominan. Huruf kedua dan ketiga pula
menerangkan tentang jenis personaliti kedua dan ketiga penting. Contohnya, seseorang
pelajar mungkin mempunyai pola personaliti-persekitaran SAE, ASE atau lain-lain gabungan
daripada enam jenis personaliti yang ada dalam RIASEC.
Darjah Kongruen
Dalam konteks kajian ini, darjah kongruen dirujuk sebagai keselarasan antara ciri-ciri tret
yang dimiliki oleh seseorang individu dan kehendak persekitaran yang diduduki. Holland
(1973) telah menyatakan bahawa jenis personaliti yang berbeza memerlukan jenis
persekitaran yang berbeza. Indeks Kongruen Iachan (1984) digunakan bagi mengukur darjah
kongruen dengan membandingkan keselarasan antara kod tiga huruf yang diperolehi oleh
3 | Simposium Pengajaran dan Pembelajaran UTM 2007 (SPPUTM 07)
Kecemerlangan Pendidikan Menerusi Pengajaran dan Pembelajaran Berkualiti
pengkaji dengan kod tiga huruf Holland yang telah ditetapkan dalam The Occupations Finder
(Holland, 1989).

METODOLOGI KAJIAN

Kajian tinjauan secara deskriptif ini telah digunakan untuk melihat beberapa aspek seperti
pola personaliti-persekitaran kursus dan tahap darjah kongruen di kalangan pelajar. Kajian ini
juga berbentuk kajian ex-post facto jenis kolerasi iaitu mengkaji pembolehubah atribut iaitu
pembolehubah yang telah berlaku atau sedia wujud dalam unit sosial sebelum bermula
sesuatu kajian (Tuckman, 1978). Pembolehubah ini sukar dikawal atau dimanipulasikan.
Dalam kajian ini, pembolehubah atribut ialah darjah kongruen personaliti-persekitaran kursus
yang turut dikenali sebagai pembolehubah tidak bersandar. Manakala, pembolehubah
bersandar ialah pencapaian akademik. Alat kajian yang digunakan ialah soal selidik Self
Directed Search (SDS)-Form Easy yang telah diubahsuai oleh Amla (1984) di mana nilai
kebolehpercayaannya adalah tinggi iaitu berada dalam julat 0.85 hingga 0.97. Alat kajian ini
bertujuan mengenalpasti minat kerjaya seseorang individu berdasarkan jenis personaliti dan
persekitaran mereka.

DAPATAN DAN PERBINCANGAN KAJIAN

Analisis deskriptif pola personaliti-persekitaran kursus pelajar

Melalui analisis deskriptif, min pola personaliti-persekitaran kursus pelajar dan kod tiga huruf
pengkaji telah diperolehi berpandukan kepada tiga skor min yang tertinggi.

Jenis pola personaliti-persekitaran kursus pelajar
Jadual 1: Min pola personaliti-persekitaran kursus pelajar

Kursus Realistik
(R)
Investigative
(I)
Artistik
(A)
Sosial
(S)
Enterprising
(E)
Conventional
(C)

Kod
Pengkaji
SHR 4.07 7.56 11.10 17.99 11.76 10.20 SEA
Jadual 1 menunjukkan tiga jenis personaliti yang memperolehi min skor tertinggi bagi pelajar
kursus SHR. Min skor tertinggi ialah Sosial (17.99), diikuti oleh Enterprising (11.76) dan
Artistik (11.10). Ini bermakna kod pengkaji yang diperolehi ialah SEA. Saranan Holland
(1985) bahawa individu akan mencari persekitaran yang membolehkan mereka menyalurkan
minat, kebolehan dan kemahiran selaras dengan personaliti adalah benar dan dipersetujui.
Jenis personaliti Sosial yang dominan memberikan gambaran bahawa pelajar SHR
mempunyai ciri-ciri bertanggungjawab, suka membantu, mengelakkan diri daripada
penyelesaian masalah intelek serta berminat dalam aktiviti berbentuk kebajikan. Selain itu,
ciri Sosial juga memainkan peranan penting dalam bidang kerjaya Pembangunan Sumber
Manusia (PSM) yang memerlukan mereka berinteraksi secara meluas dengan individu lain,
khususnya dalam merancang dan melaksanakan program pembangunan sumber manusia.
Manakala, ciri Enterprising seperti pandai memujuk, mementingkan status, berkemahiran
dalam bidang pemasaran atau penjualan, agresif dalam percakapan, bersosial dan bercirikan
kepimpinan juga adalah bersesuaian dengan personaliti pelajar dalam kursus SHR.
Jenis personaliti Artistik yang mempunyai min skor ketiga tertinggi pula menunjukkan bahawa
pelajar SHR mempunyai ciri peka kepada persekitaran, imaginatif dan sukakan kebebasan.
Selain itu, dapatan kajian ini juga telah menunjukkan bahawa pelajar SHR mempunyai min
skor paling rendah bagi Realistik (4.07). Ini kerana jenis personaliti Realistik adalah lebih
menjurus kepada kursus yang memerlukan kemahiran mekanikal, cenderung bekerja dengan
objek dan mesin serta kurang kebolehan berinteraksi. Manakala, jenis personaliti
Investigative yang mempunyai min skor kedua terendah (7.56) adalah lebih menjurus kepada
Simposium Pengajaran dan Pembelajaran UTM 2007 (SPPUTM 07) | 4
Kecemerlangan Pendidikan Menerusi Pengajaran dan Pembelajaran Berkualiti
pelajar yang meminati kursus berkaitan sains dan matematik yang memerlukan mereka
mempunyai ciri-ciri analitikal, intelektual serta kerja-kerja bercorak saintifik. Secara
kesimpulannya, ciri-ciri Sosial, Enterprising dan Artistik amat sesuai dan diperlukan oleh
pelajar SHR bagi menceburi bidang kerjaya kelak.

Tahap darjah kongruen personaliti-persekitaran kursus
Jadual 2: Analisis tahap darjah kongruen responden mengikut kursus
Kod Pengkaji Kod Holland Darjah Kongruen Tahap

SEA SEC 27 Padanan baik
Jadual 2 pula menunjukkan analisis tahap darjah kongruen personaliti-persekitaran kursus di
kalangan pelajar. Walaupun kedua-dua pola personaliti-persekitaran kursus antara kod
pengkaji (SEA) dan kod Holland (SEC) adalah berbeza, namun nilai darjah kongruen yang
telah diperolehi oleh pengkaji adalah sebanyak 27. Berdasarkan Indeks Kongruen Iachan,
skor ini dikategorikan sebagai padanan yang baik. Secara kesimpulannya, pemilihan dan
kemasukan pelajar tahun satu ke kursus SHR yang dilakukan oleh pihak universiti adalah
bersesuaian dengan jenis personaliti mereka. Ini bermakna terdapatnya kekongruenan dari
segi personaliti-persekitaran kursus di kalangan pelajar SHR.

ANALISIS INFERENSI
Hubungan antara pencapaian akademik dengan darjah kongruen personaliti –
persekitaran kursus di kalangan pelajar SHR

Ho 1: Tidak terdapat perhubungan signifikan antara pencapaian akademik dengan darjah
kongruen personaliti-persekitaran kursus di kalangan pelajar SHR.

Jadual 3: Analisis hubungan antara pencapaian akademik dengaan kongruen personalitipersekitaran
kursus pelajar SHR

Hubungan Pembolehubah r p

Pencapaian akademik dengan darjah keselarasan personaliti-persekitaran 0.01 0.92
Signifikan pada aras p<0.05
Jadual 3 menunjukkan bahawa nilai pekali kolerasi, r bagi kedua-dua pembolehubah adalah
0.01. Ini menunjukkan terdapat hubungan negatif yang sangat lemah antara kedua-dua
pembolehubah tersebut. Manakala, nilai signifikan, p yang diperolehi iaitu 0.92 adalah lebih
besar daripada aras signifikan yang telah ditetapkan iaitu 0.05. Oleh demikian, hipotesis nol
adalah gagal ditolak. Maka, dapatan kajian telah menunjukkan bahawa tidak terdapat
perhubungan signifikan antara pencapaian akademik dengan darjah kongruen personalitipersekitaran
kursus di kalangan pelajar SHR.
Dapatan kajian ini menyokong kajian oleh Feldman et al.,(1999) yang mendapati bahawa
pelajar berpersonaliti Sosial yang memasuki bidang persekitaran yang kongruen tidak
semestinya menunjukkan peningkatan ketara dari segi kebolehan, minat dan pencapaian
akademik. Walaupun pelajar SHR mempunyai padanan yang baik dari segi darjah kongruen,
namun begitu tidak terdapat hubungan antara kekongruenan personaliti-persekitaran kursus
dengan pencapaian akademik di kalangan pelajar. Kemungkinan terdapat faktor-faktor lain
yang berhubung kait dengan peningkatan pencapaian akademik di kalangan pelajar. Hasil
kajian McKenzie dan Schweitzer (2001) telah menunjukkan bahawa orientasi kerjaya
bukanlah penentu utama kepada peningkatan akademik seseorang pelajar di universiti.
Sebaliknya, faktor-faktor lain seperti skor pencapaian akademik di sekolah untuk kemasukan
ke universiti, kepuasan terhadap universiti, komitmen serta kemahiran belajar adalah lebih
5 | Simposium Pengajaran dan Pembelajaran UTM 2007 (SPPUTM 07)
Kecemerlangan Pendidikan Menerusi Pengajaran dan Pembelajaran Berkualiti
berhubung kait dengan kejayaan akademik seseorang pelajar di universiti. Manakala, Awang
Had (1986) menyatakan bahawa sebahagian besar faktor yang memberikan pengaruh
kejayaan akademik adalah faktor yang melibatkan diri pelajar itu sendiri. Secara umumnya,
dapatan kajian ini membawa implikasi bahawa kekongruenan personaliti-persekitaran kursus
tidak mempunyai hubungan dengan pencapaian akademik di kalangan pelajar SHR.

CADANGAN KAJIAN

Walaupun hasil kajian ini tidak menunjukkan perkaitan antara pencapaian akademik dengan
darjah kongruen personaliti-persekitaran kursus di kalangan pelajar SHR, namun sumbangan
dan kepentingan implikasi kajian ini wajar diberikan tumpuan dan panduan oleh pihak
universiti dalam menekankan betapa mustahaknya pelajar memilih kursus yang bersesuaian
dengan minat dan personaliti pelajar. Justeru, satu kajian secara komprehensif perlu
dilaksanakan terhadap semua kursus yang ditawarkan di UTM bagi mengenalpasti
kekongruenan pola personaliti-persekitaran kursus tersebut. Selain itu, pihak universiti juga
hendaklah memberikan peluang dan ruang sebaik-baiknya kepada pelajar untuk memilih
kursus yang bukan sahaja bersandarkan kepada pencapaian akademik semata-mata, bahkan
turut mengambilkira kesesuaian dari segi minat dan personaliti pelajar. Pelajar yang
dikenalpasti tidak meminati langsung kursus yang diikuti sehingga menjejaskan pencapaian
akademik mereka perlulah diberikan peluang untuk bertukar ke kursus yang lain secara
fleksibel dalam awal tahun pengajian. Alat ukur Self Directed Search (SDS) boleh digunakan
bagi mengenalpasti minat kerjaya seseorang pelajar dan boleh dilaksanakan oleh Pusat
Kaunseling & Kerjaya, UTM yang mempunyai kaunselor yang berkelayakan dam
berkemahiran dalam pengendalian ujian psikologi.
Manakala di universiti, perancangan program perkembangan kerjaya secara lebih intensif
perlu dilakukan oleh pelbagai pihak termasuklah di peringkat fakulti dan kolej bagi
memberikan pelbagai informasi kerjaya yang boleh diceburi oleh pelajar selepas
menamatkan pengajian kelak. Sebaik-baiknya, pendedahan kerjaya tidak sahaja
memfokuskan kepada pelajar tahun akhir, tetapi didedahkan lebih awal kepada pelajar tahun
satu dan dua agar mereka memperolehi gambaran yang jelas tentang peluang-peluang
kerjaya masa hadapan. Secara tidak langsung, ianya akan dapat meningkatkan kesedaran,
minat dan motivasi pelajar yang tinggi dalam pencapaian akademik. Sidek (1998)
menegaskan bahawa individu yang mendapat maklumat mengenai diri yang jelas dan
menyeluruh akan menghasilkan arah dan matlamat kerjaya yang lebih jelas kelak. Justeru,
pelajar juga seharusnya mempunyai inisiatif dalam menerokai maklumat kerjaya secara
intensif sepanjang tempoh pengajian bagi meningkatkan minat terhadap kursus yang diikuti.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, walaupun kursus yang dikaji didapati tidak menunjukkan
perhubungan antara pencapaian akademik dengan darjah kongruen personaliti-persekitaran
di kalangan pelajar, namun dapatan kajian ini berjaya menunjukkan bahawa minat kerjaya
atau personaliti seseorang itu boleh dikelaskan mengikut jenis personaliti yang dikemukakan
oleh Holland (1973) iaitu Realistik, Investigative, Artistik, Sosial, Enterprising dan
Conventional. Selain itu, Teori Tipologi Kerjaya Holland dan alat ukur SDS juga didapati amat
bersesuaian digunakan serta diaplikasikan dalam konteks budaya masyarakat di Malaysia
dalam aspek pemilihan dan pembangunan kerjaya pada masa kini.

RUJUKAN

Allen, B.P. (2002). Personality Theories : Development, Growth and Diversity. Boston : Allyn
and Bacon.
Amla Mohd. Salleh (1984). An investigation of the validity of Holland’s Self-Directed Search
for utilization by Malaysian Population. Jurnal PERKAMA. 3 & 4. 165-173.
Awang Had Salleh (1986). Ke arah pencapaian akademik yang cemerlang di kalangan pelajar
Bumiputera melalui kaunseling. Kertas Kerja Seminar Ke-2 Kaunseling. USM.
Simposium Pengajaran dan Pembelajaran UTM 2007 (SPPUTM 07) | 6
Kecemerlangan Pendidikan Menerusi Pengajaran dan Pembelajaran Berkualiti

0 comments:

Post a Comment